PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjalankan siasatan ke atas 31 kes membabitkan artificial small arm weapons iaitu senjata ringan tiruan yang cuba diimport ke negara ini dengan nilai rampasan keseluruhan RM1,860,912.30 sepanjang tahun lalu.
JKDM dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah perolehan kes, empat darinya membabitkan pengimportan senjata api tiruan melalui Perkhidmatan Pos Malaysia dengan masing-masing berlaku di Sarawak (tiga kes) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (satu kes).
Katanya, kesemua bungkusan ke pusat mel dan kurier (PMK) akan diimbas secara 100 peratus dan seterusnya melalui proses isihan dengan kehadiran Pegawai Kastam dan Pegawai Pos Malaysia.
“Sekiranya terdapat bungkusan yang dikesan mengandungi barang larangan, maka bungkusan itu akan dirampas.
“Senjata api tiruan adalah larangan bersyarat kecuali mengikut cara yang diperuntukkan mengikut butiran 48, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan mengenai Import) 2023,” kata JKDM.
JKDM ingin memaklumkan dalam hal pengimportan senjata api (termasuk tiruan) adalah tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan mengenai Import) 2023.
“JKDM juga secara aktif menyertai operasi antarabangsa berkaitan kawalan ke atas senjata api di pintu masuk negara seperti operasi GS APSP II (Global Shield) dan Operasi SALW APSP (Small Arms and Light Weapon, Asia Pacific Security Project),” katanya.
Tambahnya, JKDM sentiasa memandang serius mengenai isu penyeludupan senjata api dan mengambil langkah proaktif untuk membendung kemasukan senjata api yang tidak mempunyai permit import yang sah. – KOSMO! ONLINE