AMPANG – Seorang wanita warga Indonesia diberkas selepas disyaki mencuri rantai tangan emas ketika melakukan kerja pembersihan di sebuah kedai emas di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, siasatan mendapati kejadian itu dilakukan suspek berusia 31 tahun pada 31 Januari lalu.
“Perbuatan suspek mengambil rantai emas di bilik pameran ketika bekerja itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.
“Kehilangan barang kemas itu disedari pada 19 Februari lalu sebelum seorang penyelia membuat laporan polis selepas mendapati aksesori tersebut lesap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Azam, bertindak atas laporan, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya memberkas suspek pada 20 Februari lalu di lokasi berhampiran bersama barangan rampasan.
“Ujian air kencing mendapati wanita itu bebas pengambilan bahan terlarang. Dia direman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE