fbpx

‘Maaf, saya tak sedar hukum-hakam walau sudah bau tanah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAWAK, Saiful Apek memohon maaf dan memikul tanggungjawab atas kekhilafan merangkul usahawan selebriti, Kak KM yang mencetuskan rasa kurang senang orang ramai.

PETALING JAYA – Dikecam gara-gara merangkul pinggang usahawan selebriti Liana Rosli atau Kak KM, pelawak Saiful Apek meminta maaf atas ketelanjuran perbuatannya.

Saiful atau nama sebenarnya, Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56, mengakui kekhilafan diri sehingga tidak menyedari hukum-hakam namun berharap insiden berkenaan jangan lagi dipanjangkan.

“Saya akui khilaf dan menerima dengan lapang dada semua teguran yang berlandaskan kasih sayang.

“Tak perlu panjangkan kejadian khilaf saya kerana pada masa itu saya tak fikir dan mungkin tak sedar hukum-hakam walau sudah ‘bau tanah’. Benda sudah pun berlaku.

“Maaf, saya tahu saya salah. Kalau kata saya terlibat dengan sesuatu yang cenderung kepada perkara negatif, saya harus bertanggungjawab. Tidak ada kaedah untuk saya memanipulasi atau menuding jari. Salah tetap salah. Saya akui, yang buruk datang daripada kita dan yang baik datang daripada Allah SWT,” katanya dalam wawancara dengan Komuniti Dakwah Tarbiah.

Pelakon filem Cicakman itu juga mengakui reda andai orang ramai terkilan dengan tindakannya yang kini tular dalam laman sosial itu selain memikul tanggungjawab atas situasi terbabit.

“Jadi, jika ada yang kecewa atau ‘unfollow’ dan ‘block’ (sekat) kerana kejadian itu, saya terima dengan reda.

“Saya yang pikul tanggungjawab itu untuk memperbaiki diri saya. Saya juga manusia yang tidak lari daripada kesilapan,” ujarnya.

Pada masa sama, Saiful menyifatkan semua yang berlaku sebagai ujiannya untuk dirinya bermuhasabah menjadi insan lebih baik.

“Kita akan sentiasa diuji dan takkan terlepas daripada khilaf dan lalai.

“Paling penting untuk kita muhasabah diri ada empat intipati. Yang pertama menyedari, kemudian menyesali, yang ketiga mengakui dan memperbaiki.

“Jadi saya dengan setulus hati, mengakui apa sahaja kesilapan yang berlaku dan sedang tular sekarang ini adalah khilaf diri saya sendiri,” kongsinya.

Saiful juga berharap orang ramai tidak lagi mengaitkan kontroversi yang tercetus dengan keluarga dan rakan terdekatnya.

“Saya harap kalau boleh hal ini jangan ditempiaskan lagi kepada keluarga saya dan rakan-rakan seperjuangan saya.

“Apa yang saya katakan bukanlah untuk menegakkan benang basah atau mempertahankan diri kerana salah tetap salah,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan Saiful berpelukan dengan Kak KM yang didakwa bergambar dalam sebuah majlis, baru-baru ini.

Tindakan tersebut mencetuskan kecaman netizen malah pendakwah bebas PU Syed turut menegur dan menitipkan nasihat tentang batas pergaulan antara bukan mahram. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI