fbpx

‘Saya jadi bengong kejap’ – Ibu Neelofa reda hidap kanser payudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu Neelofa, Datin Noor Kartini positif melawan sel barah yang masih berada pada tahap awal.

PETALING JAYA – Menganggap penyakit kanser payudara tahap satu sebagai anugerah, ibu kepada usahawan selebriti Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohammed mengakui suami dan anak-anak menangis sebaik mendengar berita mengejutkan itu.

Noor Kartini mendedahkan dua permata hati yang tinggal di Sabah dan England bergegas pulang ke rumah bagi memberikan sokongan terhadapnya.

“Anak-anak dan suami menangis, suami pula sampai tak boleh tidur.

“Tapi saya anggap penyakit ini sebagai satu anugerah daripada Allah dan tersedar yang orang seperti saya pun boleh dapat kanser,” katanya dalam hantaran video Instagram.

Pendedahan ibu kepada sembilan cahaya mata itu mengejutkan ramai, namun beliau tampak tenang sepanjang ditemu bual dalam sebuah program audio siar yang turut dikongsikan dalam laman sosialnya.

Selain anak serta suami, Datuk Abdul Halim Khan yang menyuntik kata-kata semangat, katanya dia berlapang dada kerana yakin situasi dilalui adalah ujian Allah kepadanya.

Malah, ahli perniagaan itu tetap positif mampu melawan sel barah tersebut memandangkan dirinya masih berada pada tahap awal penyakit berkenaan.

Bercerita lanjut, awalnya beliau seperti berada di awang-awangan apabila doktor mengesahkan keadaannya yang berdepan penyakit tersebut.

“Terkejut jugalah. Eh, apa kanser. Saya jadi bengong (terdiam) sekejap. Beberapa hari ni macam di awang-awangan. Bukan takut ke apa.

“Sebelum itu kita buat saya biopsi. Mungkin ada ‘lump’ atau ‘cyst’. Tiada satu persen pun saya jangka kanser.

Ya Allah, tak pernah terfikir pun ada barah,” kongsinya.

Pada perkongsian sama, Noor Kartini turut menyatakan akan memberikan fokus penuh terhadap proses rawatannya.

“Alhamdulillah dengan diagnosis yang awal, tahap awal ini. Insya-Allah banyak benda boleh kita buat dengan cepat, mudah.

“Jadi insya-Allah sekarang mama dalam proses penyembuhan dan kita nak berehat dulu dalam dunia perniagaan,” ujarnya.

Wanita berusia 59 tahun itu memaklumkan dia memperoleh keputusan mengenai penyakit terbabit selepas melakukan ujian biopsi pada 17 Februari lalu.

“Saya dapat panggilan kena pergi buat biopsi dan keputusan mamogram waktu itu kurang cantik.

“Pada 20 Februari, doktor kemudian menghubungi saya bagi memaklumkan keputusan penuh sudah keluar.

“Doktor diagnos saya kanser payudara tahap satu,” katanya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan simpati mendoakan wanita terbabit tabah mengharungi dugaan seterusnya dikurniakan kesembuhan segera.

“Mama (panggilan buat Noor Kartini) wanita hebat dan berjiwa kental. Semoga mama cepat sembuh. Terus kuat ye,” kata seorang pengikutnya.

“Allah uji hamba-Nya yang mampu berdepan dugaan sebegini. Doa kami sentiasa mengiringi mama,” tulis netizen lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI