LIVERPOOL – Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool mula dibebani masalah kecederaan ketika mereka perlu berentap menentang Manchester City tengah malam ini.
Aksi menentang City dianggap sangat penting sebagai penanda aras sama ada mereka mampu untuk mengekalkan kelebihan seterusnya menjuarai saingan EPL musim ini selepas dibezakan dengan lapan mata berbanding pencabar terdekat, Arsenal yang kekurangan satu perlawanan.
Selepas hanya mengutip lima mata dalam tiga perlawanan terakhir dengan hanya meraih satu kemenangan dan dua keputusan seri, keciciran mata menentang City kali ini bakal menyebabkan jurang kelebihan dimiliki Liverpool mengecil.
Berdasarkan laporan terbaharu, pengendali pasukan, Arne Slot tidak dapat menggunakan khidmat empat pemainnya pada perlawanan ini melibatkan Conor Bradley, Joe Gomez, Cody Gakpo dan Tyler Morton yang mengalami kecederaan.
Bradley dikeluarkan ketika perlawanan berbaki 24 minit ketika menentang Aston Villa pada Khamis lalu akibat kecederaan otot, manakala Gomez pula dalam proses rehabilitasi selepas menjalani pembedahan hamstring.
Sementara itu, Gakpo yang mengalami kecederaan ketika aksi derbi menentang Everton sudah terlepas dua perlawanan dengan status kecergasannya masih samar, sementara Morton menjalani pembedahan bahu.
Biarpun Slot masih memiliki barisan pemain yang lengkap, episod kecederaan itu menyebabkan beliau tidak mempunyai banyak pilihan untuk pemain gantian ketika Trent Alexander-Arnold dan Diogo Jota masih belum cergas sepenuhnya.
“Jota dan Trent bebas daripada kecederaan, tetapi mereka baharu sahaja pulih. Mereka tidak boleh beraksi 90 minit untuk lima perlawanan berturut-turut. Anda boleh lihat apa yang jadi pada Bradley,” katanya.
Biarpun musim ini City dilihat sudah terkeluar dalam perlumbaan untuk merebut kejuaraan EPL, Slot mengakui mereka tidak boleh memandang mudah kemampuan City selepas kedua-dua pasukan menjadi seteru utama dalam perebutan sejak beberapa musim lalu.
“Perseteruan antara kedua-dua pasukan berlangsung sejak beberapa musim lalu. Pemain kami dan mereka merasainya. Saya fikir kami perlu berada pada tahap terbaik untuk mengekalkan rekod 22 perlawanan tanpa kalah dan waspada dengan City yang kecewa akibat tersingkir saingan Liga Juara-Juara (UCL),” jelasnya. – AGENSI