SEREMBAN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) melakukan aktiviti nyahkuman di Site A, Tanah Merah, Port Dickson, dekat sini sebagai langkah proaktif yang diambil susulan kes pembuangan sisa babi di lokasi terbabit pada 13 Februari lalu.
JPVNS dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu bagi mengelakkan penyebaran penyakit haiwan berkenaaan merebak di kawasan sempadan khususnya di Selangor selain menghalang aktiviti pemindahan khinzir secara haram di kawasan berkenaan.
Menurut JPVNS, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berkaitan bau busuk dan potensi risiko kesihatan akibat pembuangan sisa khinzir di kawasan Site A, Tanah Merah, Port Dickson pada 13 Februari lalu.
“Hasil siasatan pihak jabatan mengesahkan kewujudan beberapa lubang yang digali untuk tujuan tersebut di kawasan berkenaan.
“Susulan itu, satu pertemuan antara JPVNS dengan Ketua Kampung Taman Jimah Indah diadakan dan hasil pemeriksaan pada pukul 3 petang hari sama, mendapati beberapa lubang digunakan untuk menanam sisa babi dan terdapat sisa yang ditarik keluar oleh haiwan liar,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, ujarnya, ketua kampung diminta untuk menasihatkan pemilik tanah agar menutup lubang dengan segera bagi mengelakkan penyebaran penyakit yang berpotensi disebabkan oleh haiwan liar yang memakan atau menarik sisa khinzir berkenaan.
“Satu perbincangan seterusnya telah diadakan oleh pihak JPVNS untuk menentukan tindakan selanjutnya dan langkah-langkah sanitasi serta pemantauan terhadap pemindahan khinzir tanpa permit dilaksanakan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE