PETALING JAYA – Seorang lagi rakyat Malaysia dikenali sebagai Hamzah Ibrahim, bakal dihukum mati di Singapura pada 26 Februari ini atas kesalahan mengedar dadah.
Seorang peguam, M. Ravi memaklumkan, Hamzah disabitkan kesalahan mengedar 26.29 gram diamorphine.
“Walaupun dia menerima Sijil Bantuan Substantif (CSA) kerana bekerjasama dengan pihak berkuasa, dia tidak layak untuk dipenjarakan seumur hidup kerana dia tidak diklasifikasikan sebagai kurier,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Susulan itu, Ravi turut menyeru masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk campur tangan.
“Saya menggesa masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk menyertai kempen mendesak kami untuk menyelamatkan Hamzah daripada dibunuh pada Rabu depan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman disabitkan kesalahan mengedar dadah oleh Mahkamah Tinggi Singapura dan dijadualkan untuk hukuman mati pada 20 Februari lalu.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman mati itu pada saat-saat akhir.- KOSMO! ONLINE