IPOH – Persidangan Pertama Majlis Perundingan Wanita Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini berjaya menghimpunkan 63 perwakilan yang bakal menjadi duta suara wanita di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, para perwakilan yang bersidang itu seterusnya akan membawa membawa harapan dan aspirasi ratusan ribu wanita di negara ini.
“Hari ini kita tidak hanya berhimpun, sebaliknya kita memulakan langkah pertama dalam meniti perjalanan yang lebih besar, yang membuka ruang untuk suara wanita didengar, diiktiraf, dan diberi peluang untuk mencorakkan masa depan.
“Perak telah melahirkan begitu ramai wanita hebat, ibu yang menjadi tunjang keluarga, pendidik yang membentuk generasi, usahawan yang memacu ekonomi, serta pemimpin yang membawa perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Persidangan Pertama Majlis Perundingan Wanita Perak di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Saarani berkata, persidangan itu menjadi medan terbaik untuk merangka gagasan yang inklusif, memperkukuh dasar progresif dan memastikan wanita terus memainkan peranan penting dalam kepimpinan, ekonomi serta pembangunan sosial.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 915 daripada 1,002 permohonan Kad Perak Sejahtera telah diluluskan kerajaan negeri setakat bulan ini, dengan Kinta menjadi daerah paling tinggi jumlah pemohon iaitu membabitkan 430 permohonan.
“Setakat Februari 2025, seramai 19,012 penerima telah pun mendapat manfaat, dengan sasaran 20,000 Ketua Isi Rumah (KIR) sebagai penerima. Kita masih menerima permohonan dan yakin sasaran itu akan dicapai dalam masa terdekat.
“Bantuan ini boleh digunakan di 291 kedai dan pasar raya panel berdaftar, dengan nilai keseluruhan RM1,200 setahun atau RM100 sebulan bagi setiap penerima,” katanya. – KOSMO! ONLINE