KUANTAN – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memperuntukan sebanyak sebanyak RM440.22 juta tahun ini bagi menjayakan pelbagai program pembangunan melibatkan lebih 500,000 pekebun kecil seluruh negara.
Pengerusi Risda, Manndzri Nasib berkata, peruntukan khas di bawah bajet Madani 2025 menjadi wadah utama Risda dalam memastikan pengeluaran getah negara terus dimartabatkan dan kembali menjadi peneraju pengeluaran getah dunia.
Katanya, bilangan pekebun kecil sangat dominan dalam sektor itu kerana menyumbang 89 peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah asli negara berbanding sektor estet.
“Penganjuran Karnival Risda Madani (Karrisma) Zon Timur 2025 adalah manifestasi kerajaan dalam memartabatkan sektor industri getah negara melalui komuniti pekebun kecil secara tradisi menjadi ‘wira getah’ negara.
“Sebagai sokongan, Risda memperuntukkan bajet sebanyak RM123.11 juta untuk dimanfaatkan oleh lebih 145,000 pekebun kecil di kawasan zon timur, merangkumi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan,”katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Karrisma Zon Timur di perkarangan Stadium Darul Makmur malam semalam.
Menurutnya, Karrisma menjadi platform utama Risda dalam merealisasikan amanah kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menyampaikan maklumat, khidmat nasihat serta inisiatif pembangunan secara terus kepada pekebun kecil.
“Karrisma Zon Timur berkonsep ekspo rakyat menampilkan 109 pempamer dan peniaga, termasuk 83 usahawan serta 26 agensi kerajaan dan swasta mendapat sokongan kerajaan negeri menjadi pemangkin pembangunan ekonomi desa kepada pekebun kecil dan masyarakat,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE