PETALING JAYA – Rezeki yang tak terduga, lagu Bukan Lagi Kita dendangan Nadeera Zaini terus melonjak menjadi juara carta beberapa platform penstriman sejak memenangi tempat kedua Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) minggu lalu.
Hasil tinjauan Kosmo! Online, karya ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh itu berada di tangga teratas dalam Top 100 Apple Music sebagai lagu paling banyak dimainkan di Malaysia.
Perkara tersebut sekali gus mengenepikan lagu Lurther (Kendrick Lamar & SZA) dan Die With A Smile (Lady Gaga & Bruno Mars).
Bukan itu sahaja, runut bunyi drama Curang Tanpa Niat itu juga menjuarai carta Top50 lagu paling banyak didengari dalam Spotify sekali gus mengenepikan lagu viral Indonesia iaitu Garam dan Madu (Tenxi, Jemsii & Naykilla).
Kegilaan lagu tersebut turut dapat disaksikan apabila berada di kedudukan pertama lagu popular dalam iTunes dan YouTube Music Malaysia.
Sejak AJL39, Bukan Lagi Kita terus menjadi siulan ramai dan video persembahannya turut tular dalam media sosial termasuk meraih pelbagai reaksi daripada pengkritik muzik dari beberapa negara jiran lain termasuk Indonesia serta Thailand.
Rata-rata berpendapat persembahan dan kehebatan vokal Nadeera pada malam AJL39 disifatkan sebagai luar biasa serta menakjubkan.
Terdahulu, AJL39 dijuarai oleh lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh iaitu Hening Rindu nyanyian Marsha Milan.
Sementara, Nadeera pula yang pertama kali bertanding di pentas AJL diumumkan sebagai pemenang tempat kedua diikuti Saksama dendangan Akim & The Majistret. – KOSMO! ONLINE