PETALING JAYA – Mengambil iktibar kegagalan tiga perkahwinan terdahulu, pelakon Fiza Halim enggan terburu-buru mendirikan rumah tangga semula selepas hampir lima tahun menggalas status janda.
Begitupun, Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abd Halim, 43, mengakui tidak serik menjalin hubungan baharu apabila kini bercinta dengan lelaki yang sangat memahami.
“Saya memang sedang mengenali seseorang cuma kami tidak mahu tergopoh-gopoh. Masing-masing pernah berkahwin dan punya anak, jadi kami fokus kepada kerjaya.
“Pada usia sebegini, kita bukan cari kekayaan, kesenangan atau kemewahan, cuma nak bahagiakan jiwa serta tenangkan hati. Lebih kepada bersederhana sahaja. Sekurang-kurangnya kita tahu ada orang yang menyayangi diri ini.
“Sekarang pun baru saya sedar, dulu mungkin saya banyak marah serta kurang sabar. Bersama lelaki itu saya lebih relaks dan bahagia,” katanya seperti dipetik sebuah program hiburan, semalam.
Tidak menyembunyikan identiti kekasih yang bergelar duda dan mempunyai seorang anak, bekas anggota kumpulan Elite itu bersyukur dipertemukan lelaki terbabit.
Katanya, paling penting insan dicintainya itu bukan suami orang atau menjadi milik wanita lain, malah dia sedia menerima segala kekurangan atau kelebihan si dia.
“Doakan yang baik-baik, kalau Allah sudah tetapkan jodoh, saya terima seadanya.
“Dia duda anak satu, yang penting dia bukan suami orang. Saya tak nak jadi penyondol.
“Kaya atau tidak sebenarnya saya tidak pernah memilih. Saya tak kisah pun. Paling penting dia mampu membahagiakan dan terima saya seadanya,” ujarnya.
Sebelum ini perkahwinan pertamanya dengan Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin pada tahun 2006 dikurniakan dua orang anak perempuan, namun bercerai empat tahun kemudian.
Tiga tahun selepas itu, Fiza berkahwin dengan peserta Akademi Fantasia 2, Adam tetapi ikatan mereka putus pada 2014 sebelum rujuk semula dan kembali berpisah pada 2015.
Perkahwinan ketiga adalah dengan juruterbang, Aizat Al Jefri tahun berikutnya dan memperoleh seorang puteri yang kini berusia tujuh tahun. – KOSMO! ONLINE