PETALING JAYA – Puspakom Sdn. Bhd. menggantung sementara pemeriksaan secara walk-in termasuk bagi mereka yang ingin menjalani pemeriksaan semula (Berkala Semula) selepas gagal pada kali pertama.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, pelaksanaan itu bertujuan untuk mengelakkan kesesakan dan memastikan pemeriksaan dilakukan dengan teliti dan adil.
“Ia juga membolehkan petugas Puspakom mendapat rehat yang mencukupi sebelum bertugas keesokan harinya.
“Namun, beberapa cawangan utama masih beroperasi sehingga lebih pukul 10 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Mahmood mengakui dengan perubahan itu, terdapat cabaran yang timbul terutamanya di Lembah Klang, yang mana mendapatkan slot tempahan menjadi lebih sukar.
Sehubungan itu, Mahmood menggesa pemilik kenderaan untuk memanfaatkan kebenaran diberikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperbaharui permit sehngga 14 hari sebelum tarikh luput tanpa menjejaskan tempoh sah sedia ada.
“Sebagai contoh, jika permit tamat pada 31 Mac, pembaharuan boleh dimulakan pada 18 Mac dan sekiranya gagal pemilik kenderaan masih mempunyai 13 hari lagi untuk menjalani pemeriksaan semula.
“Membaharui pada hari terakhir tempoh sah permit boleh menjadi masalah jika kenderaan gagal dalam pemeriksaan,” jelasnya.
Tambahnya, Puspakom juga sedang meneliti semula waktu operasi dan kapasiti bagi menampung lebih ramai pemilik kenderaan.
“Bagaimanapun, perkara itu bergantung kepada ketersediaan pemeriksa kenderaan. Pelanggan juga boleh menggunakan perkhidmatan pemeriksaan bergerak dengan bayaran tambahan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE