ANKARA, Turki – Sekumpulan lelaki bersenjata membunuh seorang kelasi Azerbaijan dan menculik 15 kru Turki daripada sebuah kapal kargo Turki di perairan Nigeria, lapor agensi berita Anadolu hari ini.
Hanya tinggal tiga anak kapal untuk melayarkan kapal berkenaan, Mozart, milik sebuah syarikat Turki, kata Anadolu.
Saluran berita Turki, NTV bercakap dengan seorang kelasi yang berada di atas kapal tersebut. Dia berkata, sebilangan anak kapal itu cedera.
Mozart belayar dari hab ekonomi Nigeria, Lagos menuju ke bandar Cape Town di Afrika Selatan apabila ia dinaiki kumpulan lanun semalam. Kapal itu kini tiba di Pelabuhan Port-Gentil, Gabon.
“Penjahat, lanun yang menculik warganegara Turki belum menghubungi kami. Lanun ini akan membuat komunikasi pada suatu ketika untuk menyatakan tuntutan mereka,” kata Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu kepada NTV.
Sementara itu, serangan lanun ke atas kapal-kapal meningkat 20 peratus tahun lalu dengan sejumlah 195 insiden berkaitan lanun dan rompakan bersenjata dilaporkan, meningkat berbanding 162 pada 2019.
Daripada 135 kelasi yang diculik di seluruh dunia tahun lalu, 130 kejadian direkodkan di Teluk Guinea iaitu kawasan berkeluasan ribuan kilometer dari Senegal hingga ke Angola. – AFP