fbpx

ACC2025: Kem berbasikal tuai dua perak, satu gangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD berbasikal negara tampil cemerlang pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini. -AMIR KHALID

NILAI – Malaysia memulakan kempen Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 dengan positif selepas mengutip dua pingat perak dan satu gangsa dalam acara pecut di Velodrom Nasional, Nilai, sebentar tadi.

Pada aksi pembuka tirai, trio negara yang dibarisi Nurul Izzah Izzati Asri, Anis Rosidi dan Nur Alyssa Farid terpaksa akur di tempat kedua selepas ditundukkan pasukan China yang lebih dominan dalam perlumbaan akhir.

China yang dibarisi Bao Shanju, Guo Yufang dan Lou Shuyan meraih emas dengan catatan 46.990 saat (s) manakala skuad Malaysia merekodkan masa 49.132 saat untuk perak.

Lebih manis, pasukan wanita negara turut mencipta rekod kebangsaan baharu selepas mencatat 48.458s pada pusingan pertama, mengatasi rekod lama 49.025 saat yang dipegang oleh Anis, Izzah dan Nurul Aliana Syafika Azizan sebelum ini.

Ketua jurulatih skuad berbasikal negara, Harnizam Basri, berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya, terutama kerana mereka masih baharu digandingkan dalam acara ini.

“Saya gembira dengan prestasi skuad wanita, walaupun mereka baru disatukan. Anis pula baru sahaja berkahwin, tetapi semua berjalan lancar. Walaupun kita tidak mempunyai pemula yang kuat, mereka tetap memberikan yang terbaik,” katanya.

SKUAD berbasikal wanita trek negara, Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri dan Nur Alyssa Mohd. Farid ketika beraksi acara pecut berpasukan elit pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini. -AMIR KHALID

Sementara itu, skuad pecut berpasukan wanita remaja turut mencuri tumpuan apabila mencipta kejutan dengan meraih pingat perak.

Trio Nurul Akhma Atiqah Ahmed Haizan, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha dan Sawda Hasbullah menamatkan perlumbaan dengan 51.931s tetapi tewas kepada pasukan Korea Selatan yang diwakili Kim Ji A, Park Ye Been dan Park Hyerin.

Bagi kategori pecut berpasukan lelaki elit, trio negara Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd. Akmal Nazimi Jusena tidak pulang tangan kosong apabila berjaya meraih gangsa dengan catatan 30.969s.

Pingat emas dimenangi oleh Jepun yang diwakili Yoshitaku Nagasako, Kaiya Ota dan Shinji Nakano, manakala perak menjadi milik China yang diwakili Tang Haoju, Feng Yusheng dan Liu Qi.

Dalam pada itu, skuad berbasikal trek para negara turut menghadiahkan pingat emas buat Malaysia menerusi acara tandem campuran.

Gandingan Mohd. Khairul Hazwan Wahab, Muhammad Khairul Adha Rasol, Nur Suraiya Muhammad Zamri dan Farina Shawati Mohd. Adnan menamatkan perlumbaan dengan catatan 52.560s, mengatasi pasukan Thailand (perak) dan Kazakhstan (gangsa). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI