PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial Imran Bard menegaskan dia tetap menghormati aktres Ellie Suriaty walaupun kini berdepan tindakan saman daripada pelakon berkenaan.
Menurut Imran, dia berasa marah dalam video terdahulu kerana Ellie melibatkan ibunya yang kini masih menerima rawatan di hospital.
“Jangan salah faham. Saya tetap respek mak cik Ellie sebagai orang lebih tua dan artis veteran. Dia juga artis legenda.
“Cuma saya sedikit marah sebab mak saya sedang masuk air di hospital kemudian tiba- tiba suruh diaminta maaf, memang agak kecewa sebab banyak pula hal nak kena hadap
“Namun, pada akhirnya, Ellie tetap lebih tua daripada saya dan artis veteran yang perlu dihormati,” katanya dalam TikTok.
Dalam masa sama, Imran turut menerima kecaman hebat daripada netizen termasuk pengguna Facebook (FB) yang digelar sebagai mak cik-mak cik FB.
“Bukan main eh? Ramai mak cik dalam Facebook serang saya ya.
“Saya baru sahaja pencen daripada kutuk mak cik ini. Sudah tak mahu buat benda kutuk-kutuk orang, tak baik. Tapi nampaknya macam mak cik cari pasal saja ya?
“Jangan sampai saya ‘comeback’. Tangan dah menggeletar nak ‘comeback’. Jangan lebih-lebih ya, nanti saya gaduh dengan mak cik dalam FB pula,” katanya lagi.
Semalam Ellie mengadakan sidang media menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa Imran yang didakwa menjejaskan namanya menerusi dua hantaran video dalam TikTok dengan kandungan berunsur fitnah.
Ellie kecewa apabila Imran memperlekeh reputasi yang dibinanya lebih tiga dekad dengan begitu sahaja menerusi konten dikongsikan.
Dalam kandungan video itu, Imran berseloroh seolah-olah menjadi juri sebuah pertandingan nyanyian dan menyebut nama Ellie termasuk kononnya mempunyai kaitan dengan bahan terlarang.
Selepas Ellie mengadakan sidang media, Imran pula tampil memberi maklum balas menyatakan ibunya tidak boleh berjumpa untuk memohon maaf kerana dirawat di hospital.
Namun, Ellie berkata dia masalah untuk menyantuni wanita terbabit yang dikatakan anaknya tidak dapat berjumpa disebabkan masih menerima rawatan akibat sakit. – KOSMO! ONLINE