PETALING JAYA – Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) melaporkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM1.17 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, berbanding RM1.69 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan kumpulan bagaimanapun meningkat, berjumlah RM30.67 bilion bagi tahun kewangan 2024, daripada RM28.67 bilion pada 2023.
PCG dalam kenyataan berkata, peningkatan pendapatan sebanyak tujuh peratus pada tahun 2024 didorong pertumbuhan volum jualan bagi tiga segmen perniagaannya, membuktikan ketahanan operasi.
“Walau bagaimanapun, keuntungan mengalami tekanan disebabkan oleh pasaran yang mencabar. Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun dari tahun ke tahun sebanyak tujuh peratus kepada RM3.5 bilion berikutan penyebaran produk yang semakin menurun dan kos operasi yang semakin meningkat.
“Kitaran yang menurun bagi sektor kimia telah berlanjutan lebih lama daripada jangkaan disebabkan oleh permintaan global yang tidak berkembang, dengan keadaan bekalan yang berlebihan.
“Keadaan geopolitik, ketegangan perdagangan antarabangsa, kos tenaga, dan kesan iklim dengan pemulihan pasaran yang berbeza-beza merentasi rantau juga telah menyumbang kepada ekonomi yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, PCG berkata, peningkatan ketara daripada kapasiti yang baharu dibina, terutamanya di Asia Timur Laut melebihi pertumbuhan permintaan dan telah memberikan kesan dalam mengekalkan tekanan ke atas harga dan margin.
PCG mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak tiga sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 berjumlah RM240 juta, yang akan dibayar pada 20 Mac 2025.
Jumlah dividen yang telah diisytiharkan pada 2024 sebanyak RM1 bilion, mewakili 89 peratus daripada Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATANCI). – KOSMO! ONLINE