LONDON – Seorang lelaki di Britain mencabut giginya menggunakan playar kerana berpendapat kesakitan akibat tindakan tersebut tidak cukup serius untuk melayakkan dia pergi ke klinik gigi, lapor akhbar Daily Star, kelmarin.
Jamie Ellison, 48, berkata, dia melakukan ‘prosedur’ cabut gigi itu di rumahnya di West Yorkshire, England menggunakan playar dan batang lidi.
“Saya mempunyai daya tahan sakit yang tinggi dan mampu menahan kesakitan tanpa ubat bius.
“Proses cabut gigi ini berakhir dengan cepat dan rasa sakit juga terus hilang sebaik sahaja gigi rosak itu dikeluarkan,” katanya kepada Yorkshire Live.
Katanya, dia takut bertemu doktor gigi kerana terlalu banyak menonton filem yang menggambarkan proses mencabut gigi sangat menakutkan.
Sebelum ini, Ellison berkata, dia tidak berhasil menemui doktor gigi daripada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) ekoran senarai janji temu yang penuh sehingga dia akhirnya memutuskan untuk mencabut giginya sendiri. – Agensi