SHAH ALAM – Polis meminta mana-mana saksi tampil bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak autistik yang didakwa cedera ketika berada di sebuah taska di Seksyen 7, di sini, 15 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan kes melibatkan mangsa lelaki berusia enam tahun itu dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Jelas beliau, pihaknya telah merujuk kertas siasatan kepada Pihak Penasihat Undang-Undang Selangor yang berkeputusan tiada tindakan lanjut (NFA) kerana tiada keterangan kukuh bagi meneruskan kes setakat ini.
“Polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 34 tahun iaitu ibu kanak-kanak itu, pukul 11.18 pagi, 16 Januari. Kejadian itu disedari bapa mangsa ketika mahu memandikan anaknya dan melihat kesan kemerahan di belakang badan mangsa dan bawah mata kanan, kira-kira pukul 9.30 malam.
“Selain itu, ibu mangsa memaklumkan anaknya tidak aktif dan kurang berinteraksi semasa diambil daripada taska berkenaan dan mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Mohd Iqbal berkata, ia merupakan kejadian kali pertama berlaku dan taska itu merupakan sebuah rumah teres setingkat yang beroperasi sejak 2021 dengan mempunyai lesen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sehingga 14 Mac depan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE