HULU SELANGOR – Seorang remaja lelaki ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan ketika solat subuh di sebuah masjid di Batang Kali, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima laporan susulan video tular di media sosial kira-kira pukul 8.19 pagi.
“Suspek warga tempatan berusia 19 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Faizal berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu di sini untuk permohonan reman, esok.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diseru untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 0360651021.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video televisyen litar tertutup sebuah masjid memaparkan kejadian membabitkan seorang lelaki yang memakai kopiah berwarna putih.
Lelaki tersebut dilihat memasuki ruangan solat wanita sebelum memeluk mangsa yang sedang sujud dari arah belakang dan mengangkatnya keluar.
Semasa kejadian, kanak-kanak itu berada di saf belakang seorang diri menyebabkan tindakan pelaku tidak disedari jemaah wanita lain. – KOSMO! ONLINE