fbpx

LBS terima pengiktirafan Anugerah Urus Niaga Terbaik IFN 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Lucas Lim (dua dari kanan) menerima anugerah Malaysia Deal of the Year dan Sustainability Deal of the Year di Anugerah Islamic Finance News (IFN) Deals of the Year 2024 yang berprestij, mengiktiraf komitmen LBS terhadap inovasi dan kelestarian dalam kewangan Islam.

PETALING JAYA – Pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad (LBS) meraih dua anugerah berprestij pada Majlis Anugerah Urus Niaga Terbaik Islamic Finance News (IFN) 2024, mencerminkan komitmennya terhadap kelestarian, inovasi dan kepimpinan dalam memajukan prinsip kewangan Islam.

LBS memenangi Urus Niaga Terbaik Tahunan Malaysia dan Urus Niaga Kelestarian Terbaik Tahunan atas kejayaan Kumpulan menerbitkan tranche Sukuk Wakalah SRI Sosial ASEAN bernilai RM200 juta, yang merupakan inisiatif pertama di bawah Program Sukuk Wakalah bernilai RM750 juta.

Program Sukuk Wakalah berkenaan, yang mendapat penarafan ‘AA-IS’ oleh MARC Ratings Berhad (MARC) merupakan pencapaian unggul atas peranannya dalam memacu pembangunan lestari serta memberikan impak sosial yang positif.

LBS mencipta sejarah sebagai pemaju hartanah pertama di Malaysia yang menerbitkan Sukuk Wakalah SRI Sosial ASEAN, sebuah instrumen kewangan patuh syariah yang diwujudkan untuk membiayai projek berasaskan tanggungjawab sosial.

Selaras dengan Kerangka Pembiayaan Kelestarian Kumpulan yang turut memperoleh penilaian Emas dalam Impact Bond Assessment oleh MARC, pengiktirafan tersebut mengukuhkan komitmen LBS terhadap pembiayaan lestari dan tanggungjawab sosial, sekali gus memperkukuh dedikasi Kumpulan dalam melaksanakan projek yang memberi impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat.

Mengulas kejayaan itu, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Dr. Lim Hock San berkata, pihaknya amat berbesar hati dan bangga menerima pengiktirafan berprestij daripada IFN.

“Anugerah ini mencerminkan usaha dan dedikasi seluruh pasukan LBS, serta mengukuhkan pendekatan proaktif Kumpulan dalam aspek kelestarian dan inovasi.

“Dengan memberi tumpuan ke arah mewujudkan impak sosial yang berpanjangan serta menetapkan piawaian tadbir urus tertinggi, penerbitan Sukuk Wakalah SRI Sosial ASEAN bernilai RM200 juta adalah bukti terhadap komitmen ini.

“Ia bukan sahaja menyokong ekosistem kewangan Islam Malaysia, malah menyediakan penyelesaian perumahan mampan dan mampu milik, selaras dengan visi kami untuk memperkayakan kehidupan dan membina komuniti yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, seiring dengan kedudukan Malaysia sebagai hab pembiayaan Islam, kejayaan LBS di Anugerah IFN membuktikan peranan pemaju hartanah itu sebagai peneraju dalam membentuk dan memajukan sektor kewangan patuh syariah.

“LBS beriltizam akan terus mengukuhkan amalan pembiayaan yang lestari berlandaskan tanggungjawab sosial, di samping memperluas komitmen dalam membiayai projek yang memberi impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat, serta memastikan nilai transformatif kepada semua pihak berkepentingan,” ujarnya.

Anugerah Urus Niaga Terbaik IFN, yang kini memasuki tahun ke-19, dianggap sebagai salah satu daripada platform pengiktirafan tertinggi dalam industri kewangan Islam antarabangsa, mengiktiraf transaksi patuh syariah yang berinovasi, berpengaruh, dan cemerlang dalam industri.

Tahun ini, anugerah tersebut menerima jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarahnya, dengan penyertaan dari pasaran seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Malaysia, Indonesia, dan Turkiye.

Oman mencatat pertumbuhan ketara dalam penyertaan kali ini, manakala Arab Saudi merekodkan jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarah. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI