fbpx

‘Kalau dah banyak duit, jangan labur semberono’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli ketika sidang akhbar di Menara KPJ, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf meminta masyarakat agar lebih berhati-hati sebelum melakukan sebarang pelaburan khususnya secara dalam talian.

“Buat kesekian kalinya saya tegaskan kepada bakal-bakal pelabur di luar sana, jangan membuat pelaburan secara semberono (terburu-buru). Semua tawaran pelaburan di media sosial adalah palsu belaka dan perlu dianggap sedemikian.

“Kalau nak melabur, pergilah ke kaunter-kaunter yang sah. Jangan pernah percaya. Kalau dah ada banyak duit yang boleh dilaburkan, dapatkan nasihat. Jangan semberono,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.

Peringatan itu dilontarkan sekali lagi oleh beliau susulan satu laporan polis diterima semalam, membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 74 tahun yang mendakwa menjadi mangsa kepada skim pelaburan mata wang kripto melalui aplikasi UKXVE.

“Mangsa yang bergelar ‘Datuk’ merupakan seorang pengarah sebuah syarikat pembinaan menyatakan telah melihat iklan pelaburan tersebut setelah membuat carian melalui Google seterusnya menekan pautan kumpulan WhatsApp (12 Gatering Stocks Into Gold).

“Mangsa telah diajar berkenaan pelaburan oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya ‘Professor Stanley Lim. Terpedaya dengan janji-janji keuntungan yang ditawarkan, mangsa telah memuat turun aplikasi UVKXE bagi memulakan pelaburan,” ujarnya.

Tambahnya, mangsa melakukan pindahan wang ke sembilan akaun bank pelbagai syarikat bernilai RM26.7 juta sejak 17 Oktober hingga 24 Disember tahun lalu.

“Melalui semakannya pada Januari lepas, mangsa mendapati akaun pelaburannya telah mencatatkan keuntungan sehingga USDT 269,247,546.68 (RM1.2 billion).

“Bagaimanapun, apabila ingin mengeluarkan wang keuntungan tersebut, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM5.56 juta atas alasan cukai,” jelasnya.

Katanya, siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan manakala hasil siasatan mendapati lima akaun bank syarikat digunakan turut disiasat bersabit 38 kes penipuan yang lain.

“Setakat ini, sejumlah 46 laporan polis telah diterima berkaitan skim penipuan pelaburan UVKXE dengan nilai kerugian keseluruhan lebih RM61.5 juta,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar mendapatkan panduan serta nasihat dari agensi berkaitan pelaburan seperti Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia sekiranya berminat dengan pelaburan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI