fbpx

‘Ibu Imran di hospital mana? Biar saya pergi melawat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELLIE tiada masalah untuk menyantuni ibu Imran yang dikatakan anaknya tidak dapat berjumpa disebabkan masih menerima rawatan akibat sakit.

PETALING JAYA – Bertegas meminta orang tua pempengaruh Imran Bard memohon maaf, pelakon dan pengarah Ellie Suriaty sanggup bertemu ibu kepada lelaki yang didakwa memfitnahnya itu di hospital.

Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar, 54, berkata, dia tiada masalah untuk menyantuni wanita terbabit yang dikatakan anaknya tidak dapat berjumpa disebabkan masih menerima rawatan akibat sakit.

“Saya boleh sahaja ke hospital berjumpa ibunya. Ibu dia dimasukkan ke hospital mana? Biar saya sendiri yang pergi melawat.

“Kan kalau orang sakit elok juga kita pergi ziarah. Saya pun tetap tuntut ibu bapa dia untuk mohon maaf atas sikap biadab anak mereka,” katanya.

Mengulas permohonan maaf daripada Imran atau nama sebenarnya Muhammad Al Imran Badaruddin, 24, atas ketelanjuran kata, aktres versatil itu menyifatkan kenyataan menerusi video yang dibuat sebagai tidak ikhlas.

Ujar Ellie lagi, bukan permintaan maaf tuan punya badan yang diingini ketika ini, sebaliknya adalah daripada orang tua pempengaruh terbabit apabila anak mereka sesuka hati memperlekehkan orang lain demi konten viral.

“Tengok video itu nampak kita boleh nampak dia tak serius dengan apa yang diucapkan. Memang macam tak ikhlas,” ujarnya.

Menyedari sebilangan netizen mempersoalkan tindakan kerasnya terhadap Imran hanya disebabkan video parodi, sutradara filem Penanggal itu menganggap perbuatan dilakukan sebagai melampau.

“Dia membuka ruang untuk orang mengutuk dan memaki hamun. Mereka bukan duduk di tempat saya, kalau ibu bapa mereka yang kena, apa rasanya,” ulasnya.

Semalam Ellie mengadakan sidang media menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa Imran yang didakwa menjejaskan namanya menerusi dua hantaran video dalam TikTok dengan kandungan berunsur fitnah.

Ellie kecewa apabila Imran memperlekeh reputasi yang dibinanya lebih tiga dekad dengan begitu sahaja menerusi konten dikongsikan.

Dalam kandungan video itu, Imran berseloroh seolah-olah menjadi juri sebuah pertandingan nyanyian dan menyebut nama Ellie termasuk kononnya mempunyai kaitan dengan bahan terlarang.

Selepas Ellie mengadakan sidang media, Imran pula tampil memberi maklum balas menyatakan ibunya tidak boleh berjumpa untuk memohon maaf kerana dirawat di hospital. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI