PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tumpuan untuk melaksanakan reformasi pendidikan secara holistik pada sesi persekolahan tahun 2025/2026.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, pendekatan reformasi ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan pengurusan sekolah secara menyeluruh.
“Dalam amanat, saya memberi fokus bagaimana kita perlu memperkemaskan gerak kerja untuk menyambut reformasi pendidikan kerana kemenjadian anak-anak mesti berpaksi dan bermulanya daripada bilik darjah.
“Oleh itu, ada lapan keutamaan untuk tahun 2025 dan pendekatan ini adalah untuk memudahkan semua pengoperasi pendidikan sama ada di peringkat KPM, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah mahu pun sekolah.
“Akhirnya, kita mampu memastikan sekolah di seluruh negara menjadi sekolah yang berkualiti dan anak-anak ini menjadi anak generasi Madani yang kita hasratkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE