JOHOR BAHRU – Usaha satu sindiket pengedaran dadah mengubah suai but kereta sedan untuk dijadikan tempat menyorokkan dadah bagi mengaburi mata pihak polis tidak berhasil selepas tiga ahlinya diberkas dalam empat serbuan di sekitar bandar raya ini, 13 Februari lalu.
Kegiatan jahat mereka yang berusia 33 hingga 46 tahun dapat dihidu selepas pasukan polis melakukan intipan dan risikan sebelum membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan wanita tempatan di tempat letak kereta sebuah kondominium di Bandar Dato Onn, di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, hasil soal siasat dan pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui sejumlah dadah yang disorokkan di dalam but kereta jenis Hyundai Sonata.
“Sindiket ini bertindak licik dengan mengubah suai but kereta dengan memasang sistem bunyi (speaker kereta) yang mempunyai ruang yang besar.
“Mereka sembunyikan dadah di dalam ruangan ini, kalau kita buka but kereta memang akan nampak speaker sahaja, tetapi bila buka dari bahagian tempat duduk belakang, ada ruang, di situ disorokkan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kumar berkata, susulan itu, polis membuat serbuan kedua di unit kondominium sama dijadikan rumah penginapan dan polis menemui pelbagai jenis dadah.
Tambahnya, siasatan lanjut membawa kepada serbuan ketiga ke atas sebuah unit kondominium di Bandar Dato Onn yang disyaki dijadikan stor menyimpan dadah.
“Seterusnya polis melakukan serbuan susulan dan menahan seorang lagi rakan kepada kedua-dua suspek di sebuah rumah teres di Setia Indah dan menemui sejumlah dadah,” katanya.
Beliau berkata, antara dadah yang dirampas ialah 28.4 kilogram (kg) ketamin, syabu (10.3kg), ganja (4.9kg), serbuk ekstasi (2.5kg), pil eramin 5 (15,750 biji) pil ekstasi (7,281 biji) serta 780 gram serbuk MDMA bernilai RM3,192,894.
Katanya, polis turut menyita sejumlah RM46,540 wang tunai dan pelbagai barang kemas serta kereta Hyundai Sonata.
Tambahnya, kesemua suspek direman sehingga 27 Februari ini untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE