SEBERANG PERAI – Orang ramai diminta tidak mensensasikan kes seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang kini kritikal di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami sesak nafas dipercayai tercekik gula-gula gummy eye ball, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, is susulan dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan pihak polis.
Katanya, polis menerima laporan yang dibuat oleh guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sekolah Kebangsaan Sungai Dua berhubung kejadian terbabit kira-kira pukul 12.49 tengah malam semalam.
“Laporan dibuat susulan pelajar lelaki terbabit dijumpai terbaring di koridor menuju ke tandas. Hasil siasatan mendapati saksi kejadian iaitu rakan mangsa memaklumkan mereka berdua dalam perjalanan ke tandas.
“Mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum saksi meminta bantuan guru kelas untuk membantu mangsa. Pihak sekolah memberikan bantuan pernafasan namun gagal sebelum menghubungi Hospital Seberang Jaya,” katanya.
Tambah Anuar, pegawai kesihatan kemudiannya berjaya mengorek dan mengeluarkan coklat dari mulut mangsa namun pelajar itu didapati masih tidak sedarkan diri.- KOSMO! ONLINE