PETALING JAYA – Perpindahan seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Malalin, Pulau Jambongan, Sabah mengundang sebak dalam kalangan anak muridnya apabila mereka ‘banjir’ air mata menangis tidak sanggup melalui perpisahan tersebut.
Menerusi video dikongsikan pihak sekolah pada TikTok SK Malalin memperlihatkan, guru tersebut dikenali sebagai Cikgu Elsazar sebak menangis sambil memberikan pesanan kepada seorang murid perempuan.
Dalam masa sama, murid lain yang berada di situ turut menangis kerana tidak sanggup berpisah dengan Cikgu Elsazar yang difahamkan berpindah mengajar ke sekolah lain.
“Manisnya perkenalan, pahitnya perpisahan. Tiada kata-kata yang boleh digambarkan melainkan air mata yang mencurah daripada bekas anak-anak didik Cikgu Elsazar.
“Air mata perpisahan guru dan anak didik. Selamat maju jaya Cikgu Elsazar,” menurut kapsyen pada video tersebut.
Pada ruangan komen, orang ramai turut sebak dan menangis dengan perpisahan murid berkenaan dengan guru kesayangan mereka.
“Acik pun nangis tengok ni. Cikgu ni seorang yang penyayang, sebab tu semua murid terasa kehilangan,” komen Zaihan Zakaria.
“Ikut pengalaman saya, cikgu ni terlalu baik dan mesra dengan anak murid. Sebab tu murid sangat sayangkan cikgu dan sukar untuk murid terima perpisahan. Saya yang tengok ni pun ikut menangis,” kata nancyaka.
“Ya Allah beratnya nak pisah dengan cikgu yang ramai anak murid sayang. Kamu kuat, mesti kuat nak,” kata ibu ros. – KOSMO! ONLINE
@sk.malalin.pulauManisnya perkenalan, pahitnya perpisahan, Tiada kata-kata yang boleh digambarkan, melainkan air mata yang mencurah daripada bekas anak-anak didik Cikgu Elsazar,