LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) terus memperkukuh kerjasama pertahanan maritim melalui Operasi Patroli Terkordinasi Malaysia-Indonesia (Op Patkor Malindo) 167/25 bermula semalam hingga 1 Mac depan.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut dalam kenyataannya berkata, operasi berkala itu bertujuan memastikan keselamatan perairan bersama serta meningkatkan kesalingoperasian dalam menghadapi ancaman maritim.
“Bagi edisi kali ini, TLDM mengatur gerak KD Laksamana Muhammad Amin dan KD Jerai, manakala TNI-AL mengoperasikan KRI Lepu dan KRI Karotang.
“Keempat-empat aset ini akan menjalankan latihan meliputi rondaan maritim, perkongsian risikan serta koordinasi menangani ancaman seperti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah rentas sempadan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, operasi itu akan berlangsung dalam beberapa fasa, termasuk perancangan staf, pelayaran bersama, latihan di laut dan sesi penilaian keberkesanan prosedur operasi.
Menurutnya, ia juga akan memberikan peluang kepada anggota dari kedua-dua negara untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam mengendalikan operasi maritim.
“Pelaksanaan Op Patkor Malindo 167/25 bukan sahaja mengukuhkan hubungan pertahanan TLDM dan TNI AL, tetapi juga membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam memastikan kestabilan dan keselamatan maritim di perairan strategik yang dikongsi bersama.
“Sepanjang tahun 2024, Op Patkor Malindo telah mencapai kejayaan dalam pengesanan dan pemeriksaan aktiviti di perairan Selat Melaka,” katanya.
Ujarnya, TLDM merekodkan 1,747 pengesanan, manakala TNI-AL merekodkan 490 pengesanan.
“Dari segi pemeriksaan, TLDM menjalankan 131 pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan dan asing, sementara TNI-AL melaksanakan 153 pemeriksaan.
“Walaupun tiada tangkapan direkodkan, pemantauan dan pemeriksaan ketat telah memberikan impak positif dalam memastikan keselamatan perairan ini,” katanya.
Sementara itu, katanya, Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Ahmad Sapuan Fathi Muhammad telah merasmikan majlis pembukaan di Dewan Tun Rahah, Markas Wilayah Laut 3, Langkawi semalam.
Turut hadir Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin Abu Bakar dan Komandan Gugus Keamanan Laut (DANGUSKAMLA), Laksamana Pertama TNI Anung Sutanto.
Dalam ucapannya, Ahmad Sapuan Fathi menegaskan bahawa Selat Melaka merupakan salah satu laluan maritim terpenting dunia, menghubungkan Laut China Selatan dan Lautan Hindi.
Katanya, selat itu menyumbang lebih 25 peratus dagangan maritim dunia dan menjadi laluan lebih 150,000 kapal setiap
tahun.
“Kehadiran aset TLDM dan TNI-AL dalam rondaan bersama memberi impak positif terhadap keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
“Pelaksanaan operasi ini membuktikan kerjasama erat antara TLDM dan TNI-AL dalam memastikan keselamatan serta keamanan pengguna maritim di sepanjang perairan Malaysia dan Indonesia,” katanya. – KOSMO! ONLINE