KOTA BHARU – Seorang pemilik kedai alat ganti dan membaiki telefon pintar tidak menyangka premis miliknya di Lembah Sireh di sini terbakar hanya selepas kira-kira satu jam dia pulang ke rumah dalam kejadian yang berlaku pada malam tadi.
Kebakaran kira-kira pukul 11.20 malam itu menyebabkan Chua Chye Leng, 59, mengalami kerugian hampir RM300,000 apabila kesemua bahagian dalam dan barangan di premis tersebut hangus dijilat api.
Chye Leng berkata, dia dihubungi oleh orang awam pada pukul 11.30 malam yang melihat premisnya itu terbakar apabila kepulan asap tebal keluar dari bangunan di tingkat bawah bangunan.
Menurutnya, dia baru sahaja pulang ke rumah bersama anaknya terus bergegas semula ke kedai untuk melihat keadaan premis yang sudah beroperasi sejak lapan tahun lalu.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, saya dapati kedai sudah dipenuhi dengan asap tebal. Kebanyakan alat ganti telefon pintar yang disimpan dalam almari pameran diperbuat daripada plastik dan besi.
“Kesemua alat ganti dan telefon pintar milik pelanggan yang sudah siap dibaiki tidak sempat diselamatkan dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.
Chye Leng memberitahu, dia bernasib baik apabila kebakaran itu hanya berlaku di bahagian depan premis sahaja dan tidak melibatkan stor belakang yang menempatkan banyak stok alat ganti.
“Saya masih buntu dan tidak tahu punca kebakaran itu. Saya menggangarkan mengalami kerugian sebanyak RM300,000 melibatkan alat ganti dan telefon milik pelanggan,” ujarnya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balai Darul Naim, Harizu Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.25 malam. – KOSMO! ONLINE