MADRID – Seramai 14 orang ditahan di Sepanyol dan Portugal dalam siri serbuan menyasarkan rangkaian sindiket pengubahan wang haram melibatkan dana gelap berjumlah €1 trilion (RM4.6 trilion), lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Kebanyakan suspek yang ditahan pada bulan lalu itu terdiri daripada warga Russia, kata agensi penguatkuasaan undang-undang Kesatuan Eropah (EU), Europol.
“Mereka mencuci wang hasil pengedaran dadah dan mengenakan komisen dua hingga tiga peratus bagi setiap transaksi. Sindiket ini merupakan ‘syarikat pengubahan wang haram multinasional tulen’.
“Lebih €1 juta (RM4.6 juta) dalam bentuk tunai dan mata wang kripto dirampas dalam serbuan di sembilan hartanah di seluruh Sepanyol dan ibu negara Portugal, Lisbon,” kata Polis Nasional Sepanyol.
Kumpulan itu beroperasi di beberapa bandar dengan setiap pejabat memperoleh pendapatan €300,000 (RM1.3 juta) sehari. Mereka mengubah wang haram untuk kumpulan mafia dari Albania, Serbia, Armenia, China, Ukraine dan Colombia.
Siasatan bermula pada 2023 apabila polis menyedari anggota mafia Russia kerap memindahkan wang milik warga asing masuk dan keluar dari Sepanyol setiap hari.
Kumpulan itu juga mahu mengembangkan perniagaan haram mereka ke Cuba.
“Semasa panggilan telefon dengan pegawai Cuba, ahli kumpulan itu mendakwa bahawa mereka mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin politik Sepanyol.
“Setiap hartanah yang diserbu di Madrid, Málaga, Marbella, Torremolinos, Coín, Ayamonte dan Lisbon mengandungi peti besi keselamatan dan mesin pengira wang yang disimpan dalam kabinet kalis bunyi.
“Mereka turut menukar lokasi dan kenderaan secara kerap serta menggunakan telefon mudah alih (burner) bagi mengelak daripada dikesan,” tambahnya.
Tiga ketua kumpulan itu masih dalam tahanan dan penahanan suspek lain sedang giat dijalankan. – AGENSI