KLUANG – Misteri kehilangan seorang remaja perempuan sejak tujuh hari lalu selepas keluar dari rumah keluarganya terbongkar apabila dia ditemui berada di rumah seorang nenek tua di kaki Gunung Lambak, malam tadi.
Nur Fakhira Dania Zahir, 14, ditemui dalam keadaan selamat oleh seorang penduduk di sebuah rumah di Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin di sini.
Penemuan itu menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keberadaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perdana itu di rumah terbabit.
Menurut ibu Nur Fakhira, Norita Kasmin, 47, penemuan kira-kira pukul 10 malam tadi dimaklumkan oleh adik iparnya sebelum anaknya itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, selepas menerima maklumat daripada pihak polis, keluarga terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk menemui Nur Fakhira dan bersyukur kerana dalam keadaan selamat sebelum dibawa pulang ke rumah.
“Bagaimanapun, anak masih enggan bercerita tentang kejadian sehingga dirinya hilang dalam tempoh seminggu dan ditemui berada dalam rumah seorang wanita tua yang sudah bertongkat untuk berjalan serta tidak dikenalinya itu.
“Dia juga dilihat dalam keadaan trauma serta tidak mahu bercakap banyak apabila disoal untuk mendaptkan kepastian tentang dirinya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Norita lagi, pada masa ini anaknya itu tinggal bersama keluarga bapa saudaranya sebelum kembali memulakan persekolahannya.
“Satu laporan polis turut dilakukan untuk pihak polis melakukan siasatan selanjutnya terhadap orang yang melarikan anak saya itu,” jelasnya..
Pada 16 dan 18 Februari lalu, Kosmo! melaporkan kehilangan Nur Fakhira Dania Zahir kira-kira pukul 10 malam 12 Februari selepas dilihat menaiki sebuah kereta dipercayai Perodua Myvi berwarna hitam.-KOSMO! ONLINE