fbpx

Zayn Rayyan: Hakim tiba di Apartment Idaman lawat lokasi kejadian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hakim dan pihak-pihak terlibat diiringi polis ketika tiba di Apartment Idaman, Damansara Damai hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

PETALING JAYA –Hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes pengabaian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin hadir di kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini tempat kanak-kanak itu dilaporkan hilang di apartment tersebut.

Kesemua pihak hadir kira-kira pukul 10 pagi dengan diiringi anggota polis masuk ke kawasan apartment itu.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh yang mendengar perbicaraan kes itu, menetapkan hari ini bagi pihak-pihak terlibat termasuk saksi-saksi yang terlibat membuat lawatan di lokasi kejadian tersebut.

“Hanya pihak-pihak terbabit saja dibenarkan ke lokasi jenayah iaitu hakim, jurubahasa, timbalan pendakwa raya, peguam, tertuduh dan saksi-saksi yang terbabit,” kata hakim Syahliza.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan itu yang dikaitkan dengan siasatan kes ‘Orang Hilang’ berikutan laporan polis yang dibuat ibu Zayn.

Katanya, lawatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum Mahkamah Sesyen di sini meneruskan sesi pemeriksaan utama terhadap dua pegawai polis pada perbicaraan itu.

Pihak pendakwaan berpendapat, keterangan lanjut saksi pendakwaan keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin dan saksi pendakwaan kelima, Asisten Superintendan Nor Zaharuddin Sanip hanya boleh dikemukakan selepas lawatan dilakukan.

Sehubungan itu, Hakim Dr Syahliza Warnoh menangguhkan sesi pemeriksaan utama terhadap kedua-duanya sementara menunggu lawatan dilakukan yang turut membabitkan penyediaan lojistik dan keselamatan.

Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka
Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI