fbpx

‘Saya tidak akan mengaibkan sesiapa, biar peguam yang ulas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZEHRA enggan mengulas mengenai keputusannya untuk bercerai secara 'fast track' sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu kepada peguamnya.

PETALING JAYA – Memohon cerai secara ‘fast track’, penyanyi Zehra Zambri memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan buat masa ini.

Langkah tersebut diambil penyanyi berusia 38 tahun itu memandangkan dia kini berada di hospital kerana masalah kesihatan.

“Salam, mohon maaf saya tidak dapat beri sebarang kenyataan ketika ini.

“Kesihatan saya juga kurang baik,” katanya dalam hantaran InstaStory.

Dalam masa sama, pelantun lagu Semalakama itu turut menegaskan tidak akan mendedahkan apa-apa melainkan kenyataan daripada peguam yang mewakilinya.

“Saya tidak akan sesekali mengaibkan sesiapa.

“Tiba masanya peguam yang mewakili saya akan mengulas lanjut, terima kasih,” ujarnya.

Semalam, Zehra dilaporkan bakal memfailkan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya, Nur Mohd. Iqwan Samsudin, 42, dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, suaminya hadir ke mahkamah untuk memfailkan nusyuz bagi menyelamatkan rumah tangga mereka yang didakwa ada gangguan pihak ketiga.

Sebelum ini, kehidupan peribadi Zehra menjadi bualan ramai selepas Iqwan dikatakan memadam foto mereka bersama dalam Instagram.

Jelas Zehra, suaminya itu tidak memadam foto tersebut sebaliknya hanya diletakkan dalam mod arkib kerana tidak gemar menjadi perhatian umum sejak dia menyertai program Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).

Untuk rekod, Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia tiga tahun.

Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017 namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI