MENDENGAR sahaja sebutan nama Azad Jasmin, pantas memutarkan imej gila-gila dan keletah selamba mengisi benak sesiapa pun, terutama peminat dunia hiburan.
Mula membina tapak dalam industri sejak hampir dua dekad lalu, anak jati Pulau Pinang itu perlahan demi perlahan bertatih mengukir nama dalam kanvas seni yang diceburinya.
Tampil dengan naskhah perdana yang memperkenal dan mengangkat namanya menerusi filem Nana Tanjung 2 arahan sutradara terkenal, Abd. Razak Mohaideen, Azad selepas itu hadir pula dengan drama Laila Majnun setahun kemudiannya.
Sejak dari situ, bakat lakonannya semakin disedari rumah produksi dan pelbagai tawaran diterima bagi menjayakan variasi watak waima drama, telefilem mahupun filem.
Bagaimanapun, asam garam bergelar anak seni ada naik dan turunnya. Kadang-kala berada di atas dan adakalanya di bawah tanpa sebarang tawaran kerja.
Boleh dikatakan agak lama menyepi dalam dunia lakonan dengan drama terakhir sekitar 2017 lalu, Azad atau nama sebenarnya Azad Jasmin John Louis Jeffri, 45, kini membuat kemunculan semula, namun dengan cara sedikit berbeza.
Single Sarrekey
Terbaharu, Azad atau lebih mesra disapa sebagai Pak Azad hadir dengan single sulung berjudul Sarrekey sentuhan komposer dan penyanyi Apak Harry Khalifah.
“Jujur saya katakan tidak pernah ada niat mahupun terlintas dalam fikiran untuk bergelar penyanyi.
“Saya sendiri pun selalu ingatkan diri, yang saya pun bukanlah pelawak, cukuplah sebagai penghibur,” turutnya memulakan bicara bersama HibGlam.
Bercerita lanjut, bapa kepada tiga cahaya mata dan suami kepada aktres Eira Syazira itu memberitahu, Apak merupakan insan pertama yang mengheretnya ke dunia nyanyian.
“Pada asalnya Apak hanya menjemput saya untuk ke set program untuk kandungan saluran YouTubenya.
“Selepas habis rakaman, dia tiba-tiba menyuruh saya untuk menyanyi sepatah dua baris apa-apa sahaja lagu.
“Beberapa hari selepas itu, Apak memberitahu dia ada sebuah lagu untuk diberikan kepada saya dan meminta untuk saya datang ke studio bagi sesi rakaman,” jelas Azad yang pada awalnya memikirkan tawaran tersebut bersifat gurauan atau demi kandungan YouTube Apak semata-mata.
Berkongsi lagi, Azad memberitahu, semasa mula-mula masuk ke studio untuk proses rakaman, Apak memintanya untuk memikirkan introduksi Sarrekey menggunakan bahasa Tamil memandangkan lagu tersebut disusun dan bergenre samba rock yang popular dalam kalangan etnik berketurunan India di negara ini.
Sohor kini
Biarpun baharu sahaja diluncurkan 1 Januari lalu dan tidak sampai sebulan bertemu peminat, Sarrekey kini menjadi trending (sohor kini) dalam YouTube dan setakat ini sudah mencecah hampir sejuta tontonan.
“Saya sampai tak tahu nak rasa macam mana, terutamanya apabila lagu ini trending dalam Youtube, padahal saya hanya dikenali sebagai pelakon. Memang sesuatu yang baharu dalam hidup saya.
“Sudah hampir 20 tahun saya berkecimpung dalam bidang lakonan, tiba-tiba menyanyi dan jadi trending hanya dalam masa beberapa hari.
“Memang agak rasa luar biasa dan sesuatu benda yang baharu dalam diri. Semuanya gara-gara sentuhan penyanyi dan komposer Apak Harry Khalifah,” ujarnya yang menyatakan Sarrekey turut akan dilancarkan dalam versi hari raya tidak lama lagi.
Tambah Azad lagi, Apak awal-awal lagi sudah memberitahunya akan ada beberapa lagi single terbaharu daripada pelbagai genre termasuk balada selain duet bersama penyanyi popular berbilang bangsa lain.
Ditebak mengenai perasaannya jika Sarrekey tercalon untuk memasuki Muzik-Muzik seterusnya menerobos ke Anugerah Juara Lagu pada masa akan datang, Azad langsung tidak pernah terfikir rezeki nyanyiannya akan bergerak sejauh itu.
Cemburu
Bercakap tentang muzik video Sarrekey yang memerlukan lakonan sebagai lelaki sedang dilamun cinta selain ada adegan peluk memeluk, Azad bersyukur kerana isterinya memahami dan memberikan lampu hijau untuk semua itu.
Bagaimanapun, kata Azad, awal-awal lagi dia sudah diberi peringatan supaya tidak berlebih-lebih terutama apabila melakonkan adegan berpelukan bersama model wanita.
“Saya akui memang ada babak berpelukan dengan model wanita semasa adegan kami menunggang motosikal, tetapi saya sudah jelaskan kepada isteri tentang adegan tersebut.
“Sebelum bernikah lagi kami juga ada berbincang tentang hal-hal sebegini. Malah, saya juga sentiasa cuba memahami karakter isteri dalam lakonan.
“Kita tinggal di Malaysia, apa sangat yang kita boleh buat secara berlebihan untuk menunjukkan keakraban? Lagi pun itu sekadar khayalan dalam jalan cerita menerusi muzik video tersebut,” jelasnya yang kini sedang giat mempromosikan Sarrekey.
Menyentuh perkembangan kerjaya seni, Azad bersyukur kerana baharu selesai menjalani penggambaran sebuah telefilem berjudul Sabotaj Raya gandingan bersama Zulin Aziz membawa watak utama.
Selain itu, Azad juga akan turun semula ke lokasi penggambaran drama bersiri Baha Don 2 bagi menamatkan baki komitmennya tidak lama lagi.
Menutup perbualan, Azad turut mengharapkan percubaan suka-sukanya dalam bidang nyanyian mampu diterima baik khalayak. Dia juga bersedia dengan sebarang kritikan mahupun komen membina daripada peminat.