PETALING JAYA – Tiada angin tiada ribut, penyanyi Zehra Zambri dilaporkan bakal memfailkan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya dalam masa terdekat.
Perkara tersebut disahkan suaminya iaitu Nur Mohd. Iqwan Samsudin, 42, selepas Zehra berjumpa dengan peguam awal pagi tadi.
“Saya dimaklumkan Zehra akan failkan penceraian secara ‘fast track’ minggu depan.
“Pagi tadi dia beritahu yang mahu keluar sekejap.
“Selepas itu, Zehra memaklumkan dia berjumpa peguam untuk failkan cerai terhadap saya,” katanya.
Ditanya mengenai punca Zehra meminta cerai, Iqwan tidak mengetahui alasan sebenar tetapi mendakwa ada pihak ketiga yang cuba menganggu hubungan mereka.
“Dia tidak maklumkan, kenapa dan mengapa. Ya (pihak ketiga).
“Ada gangguan pihak lain atau pengaruh dia failkan (cerai),” jelasnya.
Dalam masa sama, Iqwan memaklumkan tujuannya ke mahkamah pada pagi tadi untuk memfailkan nusyuz terhadap Zehra sebagai salah satu usaha menyelamatkan rumah tangga mereka.
“Saya belum failkan nusyuz cuma datang ke mahkamah kerana mahu mendapatkan pencerahan dan mengetahui prosedur selanjutnya,” jelasnya lagi.
Kongisnya lagi, dia berharap dapat berbincang dengan Zehra bagi menyelamatkan rumah tangga yang dibina sejak tiga tahun lalu.
“Saya nak selamatkan perkahwinan ini sebab kami tiada sebarang masalah.
“Ikut undang-undang kami masih suami isteri. Kami ada anak bersama. Perceraian bukan penyelesaian apatah lagi hubungan kami pun baik-baik sahaja,” ujarnya.
Sebelum ini, kehidupan peribadi Zehra menjadi bualan ramai selepas Iqwan dikatakan sudah memadam foto mereka bersama dalam Instagram.
Jelas Zehra, suaminya itu tidak memadam foto tersebut sebaliknya hanya diletakkan dalam mod arkib kerana tidak gemar menjadi perhatian umum sejak dia menyertai program Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).
Untuk rekod, Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia tiga tahun.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017 namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018. – KOSMO! ONLINE