PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, diberitahu Unit Anjing Pengesan (K9) tidak dapat menjejaki Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin semasa melakukan pencarian di sekitar kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada pagi hari kedua kanak-kanak itu hilang.
Saksi pendakwaan ke-20 yang juga anggota Unit K9 dari Bukit Aman, Lans Koperal Aznizam A/K Bah Jana berkata, tiga anggota dan dua anjing pengesan tiba di kawasan itu lebih kurang pukul 10.30 pagi pada 6 Disember 2023 dengan melakukan pencarian dari Blok R, apartment itu lebih kurang satu jam lebih.
“Pada pukul 11 pagi (6 Disember 2023), saya bersama seorang lagi anggota dan dua pegawai dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya melihat kawasan dikatakan ada orang hilang yang lari masuk ke hutan.
“Kami lakukan pencarian di kawasan tebing sungai hingga ke titi hulu sungai sebelum melintasi ke blok R apartment itu, namun tiada sebarang indikasi (petunjuk) oleh anjing saya.
“Ketika itu lebih kurang 20 penduduk yang kebanyakan mereka kanak-kanak, orang dewasa, orang tua sentiasa mengikut kami dari belakang untuk mencari orang hilang,” katanya.
Menurutnya, semasa misi pencarian kanak-kanak terbabit, keadaan cuaca terang, panas serta tiada gangguan untuk pihaknya menjalankan tugas di kawasan itu termasuk blok R di mana ibu dan bapa orang hilang (Zayn Rayyan) tinggal.
ketika ditanya peguam mengapa tidak membuat pemeriksaan menggunakan anjing pengesan, saksi itu memberitahu, dia menerima arahan hanya kawasan bahagian bawah rumah.
Terdahulu, dalam prosiding sama, saksi pendakwaan ke-19, Afendy Anak Henry yang juga anggota Unit K9 memberitahu, dia yang turut ke lokasi kejadian pada 6 Disember mendapat maklumat satu mayat dijumpai kira-kira pukul 10 malam.
Sebelum itu, Affendy yang ditugaskan untuk kedua-dua hari juga memberitahu, tempat kejadian telah dicemari kesan tapak kaki yang menyukarkan anjing K9 untuk mencari mangsa hilang.
“Pada hari pertama, kawasan tersebut agak bersemak dengan rumput tinggi. Pada hari kedua, saya sampai tempat tersebut dan melihat rumput telah ‘tumbang’ dan ada laluan,” katanya.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian, manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi Jumaat ini dengan esok hakim itu akan ke lokasi kejadian.
Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, di antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE