fbpx

JDT mahu terus ukir nama di peta Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JESE turut mencetak nama selaku penjaring JDT dalam kemenangan 5-2 ke atas Pohang kelmarin. - RAJA JAAFAR ALI

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berbangga dengan anak buahnya selepas berjaya meletakkan pasukan dalam kelompok empat teratas kumpulan Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE).

Menurut Bidoglio, kejayaan itu melepasi sasaran awal kelab yang menyasarkan untuk berada dalam kelompok lapan terbaik dan mara ke pusingan seterusnya.

Katanya, kemenangan bergaya 5-2 ke atas kelab Korea Selatan, Pohang Steelers FC kelmarin seakan memberi amaran bahawa Harimau Selatan tidak mudah menyerah kalah dan sedia berdepan dengan mana-mana pasukan.

“Walaupun ketinggalan pada awal permainan, kita tidak melatah dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Oscar Arribas.

“Pemain seterusnya berjaya mencipta kebangkitan pada babak kedua dan melengkapkan kemenangan dengan dua jaringan pada masa kecederaan.

“Kemenangan ini meletakkan JDT dalam kedudukan keempat dalam kumpulan Zon Timur ACLE, satu pencapaian yang membanggakan. Skuad Harimau Selatan akan berusaha keras lagi mengukir nama JDT dalam peta bola sepak Asia,” katanya.

Selain Arribas, empat lagi gol JDT dijaringkan oleh Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi, Jese Rodriguez dan Jorge Obregon.

Bidoglio turut memuji persembahan kapten, Natxo Insa yang menjadi tulang belakang aksi konsisten JDT dalam saingan ACLE musim ini sehingga berjaya mengutip 14 mata daripada lapan perlawanan.

“Pada usia 38 tahun, Natxo (Insa) tidak menunjukkan penurunan, sebaliknya konsisten menjadi arkitek pasukan di tengah dan tahu bila masanya mengubah tempo permainan,” ujarnya.

Sementara itu, Arribas yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan berterima kasih kepada pemain ke-12 JDT yang sentiasa berada di belakang pasukan dan memberi sokongan padu kepada mereka.

“Sokongan yang diberikan penonton amat menakjubkan. Kami akan terus memberikan yang terbaik bagi meraih lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI