JAKARTA – Satu klip video tular memaparkan detik misteri apabila sebuah gelas pecah secara tiba-tiba di sebuah kedai makan di Indonesia, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Kejadian itu dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @iyyahhh15 pada 11 Februari lalu.
Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki sedang menikmati hidangannya, manakala pemilik restoran pula sibuk membungkus makanan pelanggan lain.
Tidak lama kemudian, sebuah gelas kosong yang digantung dalam keadaan terbalik pecah dengan sendiri sehingga mengejutkan mereka.
Rakaman itu mencatatkan lebih 14 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Masalahnya gelas itu kosong! Kenapa boleh pecah?” kata seorang netizen.
“Ini bukan fizik, gelas itu tiada air panas,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI