RIYADH – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menyatakan bahawa Washington dan Russia akan melantik pasukan peringkat tinggi untuk berunding bagi menamatkan perang di Ukraine, lapor saluran berita CNN kelmarin.
Dalam rundingan diadakan di Riyadh, Arab Saudi yang tidak melibatkan Ukraine, Rubio turut berkata, AS dan Russia bersetuju untuk mencapai tiga matlamat.
Ia adalah untuk menempatkan semula kakitangan kedutaan masing-masing di Washington dan Moscow, mewujudkan pasukan peringkat tinggi bagi menyokong rundingan damai Ukraine serta meneroka hubungan yang lebih erat dan kerjasama ekonomi.
Katanya selepas bertemu dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, rundingan itu menandakan permulaan perbincangan, namun lebih banyak yang perlu dilakukan pada masa akan datang.
Sementara itu, Lavrov dalam komennya kepada pemberita berkata, rundingan itu membuahkan hasil.
“Kami bukan sahaja mendengar tetapi juga mengambil maklum antara satu sama lain,” katanya.
Mesyuarat itu merupakan kali pertama pegawai peringkat tinggi AS dengan Russia bertemu secara bersemuka selepas tentera Moscow menyerang Ukraine pada Februari 2022.
Ia disifatkan menjadi rundingan pertama dalam siri penglibatan bersama Russia untuk menamatkan perang di Ukraine.
Rundingan itu juga menjadi petanda bahawa dasar pentadbiran bekas Presiden AS, Joe Biden yang pro-Ukraine tidak lagi disambung oleh penggantinya, Donald Trump.
Selepas rundingan itu berakhir, Trump mengkritik Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang sebelumnya berkata bahawa beliau tidak akan menerima sebarang perjanjian yang dibuat tanpa kehadiran wakil Kyiv.
“Saya sangat kecewa. Saya dengar mereka (Ukraine) kecewa kerana tidak diajak berunding,” kata Trump kepada pemberita di pusat peranginan Mar-a-Lago di Florida, AS.
“Hari ini saya mendengar, ‘oh, kami tidak dijemput’. Anda (Ukraine) telah mengalaminya (peperangan) selama tiga tahun. Anda sepatutnya tidak memulakannya (konflik). Anda boleh membuat perjanjian,” katanya.
Tambah Trump, beliau lebih yakin dengan perjanjian untuk menamatkan perang selepas perbincangan antara AS dengan Russia.
“Saya fikir saya mempunyai kuasa untuk menamatkan perang ini, dan bagi saya ia berjalan dengan baik,” kata Trump.
Tanpa kehadiran Ukraine di Riyadh, Kyiv terpaksa memerhati dari jauh ketika AS dan Russia dilihat menetapkan kedudukan awal rundingan damai terhadap perang itu.
Bercakap selepas rundingan itu diadakan, Zelensky berkata, Ukraine tidak akan menyerah kepada kata dua dari Russia.
“Russia menyerang Ukraine dan kami tiada pilihan selain mengangkat senjata serta mempertahankan diri.
“Tidak ada diplomasi kerana Russia menyerang pada waktu malam, menyebabkan rakyat Ukraine mengangkat senjata dan mula mempertahankan negara mereka,” kata Zelensky. – AGENSI