MUAR- Akibat berang dengan tindakan pihak berkuasa menyerbu premis makanan isterinya yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang lelaki nekad menyimbah air panas bercampur minyak kepada anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM).
Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, gerai makanan yang terletak Jalan Omar, Parit Jawa, di sini, diserbu kerana membenarkan pengunjung untuk makan di dalam premis berkenaan.
Yang Dipertua MPM, Mustaffa Kamal Shamsudin berkata, anggota berkenaan ketika itu sedang menjalankan siasatan dan pemantauan berkaitan SOP Peraturan Operasi Perniagaan Dalam Tempoh PKP sebelum mendapati pemilik premis melanggar peraturan di bawah MPM bagi mengawal penularan wabak Covid-19.
“Ketika anggota penguatkuasa berada di bahagian dapur untuk meminta butiran suami kepada pemilik premis, lelaki berusia 40-an itu berang dan bertindak menyimbah air panas bercampur minyak daripada kuali masakan kepada anggota tersebut.
“Mangsa bagaimanapun sempat mengelak dan mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada pemilik premis kerana gagal mematuhi SOP dibawah Seksyen 72(1)(F) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit dengan membenarkan pelanggan makan di dalam premis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun menurut beliau, lelaki berkenaan masih tidak berpuas hati dan bertindak agresif dengan mengekori kenderaan peronda penguatkuasa MPM hingga ke stesen minyak.
“Lelaki itu menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar sebelum kemudian menghamburkan kata-kata kesat mengatakan ‘kau orang ini semua binatang!’ kepada anggota penguatkuasa yang bertugas.
“Laporan kejadian kepada pihak polis telah dibuat oleh anggota penguatkuasa MPM terhadap individu terbabit kerana menghalang tugas penjawat awam serta cubaan mendatangkan kecederaan kepada anggota penguatkuasa,” katanya.
Mustaffa Kamal berkata, orang awam atau para peniaga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang tindakan agresif ke atas penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.-K! ONLINE