PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bahrain hari ini.
Istana Negara dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, turut berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
“Pada pertemuan itu, Perdana Menteri mempersembahkan perkara-perkara berkaitan perkembangan semasa negara, selain bertanyakan khabar kesihatan Seri Paduka Baginda,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar tiba di Bahrain bagi lawatan rasmi di atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa.
Media semalam melaporkan, Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang) di luar negara dan dijangka berangkat pulang ke Malaysia 21 Februari ini.
Seri Paduka Baginda berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan tersebut pada 7 Februari lalu.- KOSMO! ONLINE