fbpx

Malaysia terus jadi pilihan sindiket transit dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Chin (tengah) memeriksa barisan kawalan kehormatan pada Majlis Perasmian IPD Sik, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

SIK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 102 tan dadah dan racun bernilai RM1.67 bilion merangkumi jenis sintetik dan konvensional termasuk ketum dalam operasi dari Mac 2024 hingga Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dadah jenis methamphetamine adalah yang tertinggi dirampas iaitu sebanyak 39,397 kilogram (kg) diikuti ganja 3,203kg dan ekstasi 2,513kg.

Katanya, rampasan lain adalah ketamin (946kg); pil yaba (786kg); pil erimin 5 (758kg); heroin (596kg); kokain (89kg),
ketum (53,879 kg) dan lain-lain 301 kg.

“Sebanyak 219 sindiket melibatkan 675 tangkapan berjaya ditumpaskan dalam tempoh itu. Secara keseluruhannya, seramai 248,885 tangkapan berjaya dilakukan iaitu paling ramai 149,910 kerana positif urin dan bakinya kerana membekal dan memiliki.

“Tangkapan melibatkan penjawat awam pula seramai 719 orang dengan 365 daripadanya akibat urin positif diikuti 287 memiliki; 61 bekalan dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas pula enam orang,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, di sini hari ini.

Katanya, kadar pertuduhan di mahkamah pula merekodkan 93.58 peratus, manakala nilai harta disita sebanyak RM98.1 juta selain RM11.5 juta adalah nilai harta dilucut hak akibat kesalahan dadah.

“Walau bagaimanapun saya ingin menjelaskan bahawa negara kita masih menjadi lokasi transit untuk dadah-dadah ini dihantar ke negara ketiga menggunakan kontena disebabkan permintaan yang tinggi.

“Sebagai contoh jika syabu bernilai RM33,000 ke RM35,000 untuk satu kg, ia boleh mencecah RM450,000 di negara lain. Jadi dengan jumlah itu tidak mustahil negara kita akan terus menjadi lokasi transit bahan ini,” ujarnya.

Kata Kok Chin, pihaknya bersama pengurusan tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sentiasa mencari formula berkesan untuk mengekang kegiatan dadah di negara ini.

Pada Sabtu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, trend penyalahgunaan dadah dalam tempoh tiga tahun ini merekodkan peningkatan ketara apabila seramai 192,857 orang terlibat pada tahun lalu sekali gus meletakkan kegiatan itu dalam keadaan membimbangkan.

Katanya, berbanding tahun 2023, mereka yang terlibat penyalahgunaan dadah adalah seramai 145,526 orang dan 137,176 orang pula pada 2022.

Pada penghujung tahun lalu, media melaporkan Malaysia dipercayai dijadikan sebagai transit oleh sindiket dari Thailand untuk menyimpan dadah sebelum diseludup ke negara lain khususnya Australia dan negara Eropah.

Sindiket itu yang memproses dan mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu itu dihasilkan di kawasan utara Thailand sebelum dibawa ke selatan negara itu.

Komander Tentera Bahagian Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Paisan Nusang mendedahkan, selepas memproses dadah jenis methamphetamine di kawasan utara Thailand, sindiket akan menghantar barang terlarang tersebut merentasi Sungai Golok untuk memasuki Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI