KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mengkaji kesesuaian penggunaan sistem binaan berindustri (IBS) dan rumah modular dalam Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS)
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, aspek rekaan, bentuk rumah dan struktur tanah antara yang perlu diambil kira dalam menggunakan sistem tersebut dalam projek berkenaan.
“Ia masih di peringkat kajian memandangkan kebanyakan rumah PPRS di kawasan luar bandar yang mana struktur tanahnya perlu diambil kira,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) sama ada KKDW berhasrat menggunakan IBS dan rumah modular dalam pembangunan PPRS bagi mempercepatkan pembinaan.
Rubiah berkata, PPRS yang dijenamakan semula daripada Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada Ogos lalu turut meningkatkan keluasan saiz rumah daripada 660 kaki persegi kepada 680 persegi.
Kata beliau, PPRS juga membabitkan pelan baharu berkonsepkan mesra syariah dan susun atur baharu yang membolehkan rumah dibina secara melintang atau menegak bagi memberi fleksibiliti dan suasana harmoni.
Beliau berkata, sepanjang tahun ini sebanyak RM464.45 juta diperuntukkan bagi pembinaan membabitkan 2,703 PPRS baharu dan 10,281 bagi membaik pulih kediaman.
Katanya, sejak tahun lalu, kerajaan menaikkan kadar bantuan bagi PPRS iaitu daripada RM66,000 kepada RM79,000 bagi pembinaan baharu di seluruh Malaysia.
“Bagi pembinaan PPRS baharu di Sabah, Sarawak dan Labuan ia membabitkan kenaikan bantuan daripada RM79,000 kepada RM85,000.
“Bagi menambah baik PPRS di seluruh Malaysia, ia ditetapkan kepada maksimum RM20,000 daripada RM15,000 hingga RM17,000 sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE