fbpx

Bahan kimia tumpah akibat lori terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan Hazmat BBP Kulim melakukan operasi di lokasi tumpahan bahan kimia di Jalan Padang Meha, Padang Serai, di Kulim hari ini. - Foto JBPM Kedah

KULIM – Lebih 70 liter bahan kimia tumpah dari dua tangki serta empat tong drum berlabel asid nitrik dan asid fosforik di Jalan Padang Meha, Padang Serai, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, tangki dan tong drum itu dipercayai terjatuh dari sebuah lori yang terbabas di lokasi berkenaan.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian tumpahan bahan kimia tersebut pada pukul 2.15 petang tadi.

“Pusat Gerakan Operasi Kedah mengarahkan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Kulim Hi-Tech ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi didapati berlaku tumpahan bahan kimia melibatkan dua tangki berlabel asid nitrik dan empat tong drum berlabel asid fosforik di bahu jalan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tumpahan asid nitrik dianggarkan 30 hingga 40 liter daripada dua tangki berkapasiti 2,000 liter.

“Tumpahan asid fosforik dari empat tong drum berkapasiti 800 liter pula dianggarkan 25 hingga 30 liter,” ujarnya.

Anggota terlibat diarahkan memakai pakaian dan peralatan perlindungan diri untuk mengesan kualiti udara serta bahan kimia yang tumpah menggunakan alat pengesan, selain memasang sawar-sawar pada jarak selamat.

“Anggota mengawal sisa bahan kimia yang tumpah bagi mengelak merebak ke kawasan lain dan mengalihkan 12 tong berlabel asid fosforik dengan jumlah keseluruhan 2,400 liter yang tidak tumpah ke tempat selamat menggunakan forklift.

“Sementara bagi dua tangki dan empat tong drum yang berlaku tumpahan akan dialihkan menggunakan kren,” jelasnya.

Tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan operasi kini melibatkan proses neutralisasi pada tumpahan bahan kimia. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI