SIK – Cubaan seorang penganggur untuk menyeludup 1,000 kilogram (kg) daun ketum dari Naka dalam daerah Padang Terap dekat sini ke Kelantan gagal apabila dia ditahan polis awal pagi ini.
Lelaki berusia 30 tahun yang berasal dari Bachok, Kelantan ditahan ketika memandu sebuah lori di sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 di Jalan Jeniang – Sik di sini kira-kira pukul 3.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, hasil pemeriksaan menemui 100 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 1,000 kg bernilai kira-kira RM10,000 dengan nilai pasaran RM50,000.
“Daun ketum tersebut didakwa diperoleh daripada seorang tauke daun tersebut di Naka pada harga RM10 sekilogram sebelum dijual di Kelantan pada harga antara RM40 hingga RM50 sekilogram,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE