KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memuktamadkan video promosi baharu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) pada petang ini.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan itu dibuat selepas video promosi sebelum ini mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.
“Petang ini saya akan lihat video akhir sebab baru dimuktamadkan, jangan politikkan.
“Video sebelum ini cuma untuk bangunan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dikeluarkan, jangan salah faham,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang meminta menteri menjelaskan apakah strategi dan program-program dilaksanakan MOTAC dalam meningkatkan pelancong Muslim di negara ini ekoran kekecewaan terhadap video promosi TMM2026 sebelum ini.
Terdahulu, King Sing memaklumkan video promosi TMM2026 akan dibuat semula dengan lebih terperinci bagi mempromosi setiap negeri sebaiknya.
Katanya, video montaj yang dipertontonkan semasa majlis pelancaran logo, maskot, lagu tema, dan reka bentuk paparan corak pada kapal terbang bagi TMM2026, 6 Januari lepas, bukanlah video yang akan digunakan bagi tujuan promosi.
Beliau berkata ia hanyalah video pelancaran ringkas dan pendek berdurasi 41 saat.
Sebelum ini, video montaj TMM 2026 menerima kritikan termasuk pemimpin pembangkang yang menggesa MOTAC menarik balik tayangan berkenaan kerana didakwa cuai berikutan tiada elemen masjid dipaparkan sedangkan rumah ibadat lain seperti gereja dan kuil diselitkan dalam paparan promosi tersebut. – KOSMO! ONLINE