KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan suatu undang-undang baharu seperti Akta Anti Diskriminasi Kaum ketika ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pada masa ini, undang-undang sedia ada sudah memadai dalam memastikan hubungan antara kaum terpelihara.
“Sesiapa yang dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa.
“Namun, sekiranya keadaan mendesak dan kerajaan berpandangan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula bagi tujuan mengekang sesetengah ucapan atau kenyataan (hate speech) atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman, maka kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) adakah Akta Anti Diskriminasi Kaum akan digubal untuk membendung gejala peristiwa perkauman yang kian melarat di kalangan pemimpin parti politik dan individu bersikap ekstremis serta rasis termasuk peristiwa melibatkan seorang penjaja di Sepang.
Mengulas lanjut, Aaron berkata, berhubung isu melibatkan seorang penjaja di Sepang yang enggan menjual jagung kepada kaum India dengan meletakkan papan tanda berunsur perkauman, kementeriannya telah menggerakkan anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai orang tengah dalam menyelesaikan masalah tersebut.
“Sesi permohonan maaf tersebut telah diadakan di sebuah restoran di Sepang yang turut dihadiri oleh wakil masyarakat India, pempengaruh, wakil penduduk, wakil dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pihak polis.
“Peranan KRT dalam menyelesaikan polemik ini turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai ejen perpaduan dan penyelesai masalah. Ini juga menekankan pentingnya kerjasama antara pemimpin komuniti dan pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE