fbpx

RM1.5 bilion kerugian angkara jenayah siber sepanjang 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lebih RM1.5 bilion nilai kerugian dicatatkan ekoran kes jenayah siber membabitkan penipuan kewangan dalam talian sepanjang 2024, sekali gus mencatatkan peningkatan sejak tahun 2022.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 35,368 kes dilaporkan pada 2024 meningkat 2.53 peratus berbanding 2023 dengan kerugian berjumlah RM1,574,203,951.82.

“Jumlah kes jenayah dalam talian pada 2022 adalah sebanyak 25,479 kes melibatkan kerugian RM851,121,636.62.

“Jumlah (kes) ini terus menunjukkan peningkatan dua tahun berturut-turut sebanyak 35.4 peratus iaitu 34,495 kes pada 2023 dengan kerugian RM1,218,839,783.59,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab bagi soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan perkembangan terkini jenayah siber dan penipuan dalam talian.

Menurut Saifuddin, kementeriannya menjangkakan bilangan kes dan kerugian lebih tinggi daripada statistik dengan mengambil kira ada mangsa yang tidak membuat laporan polis

Katanya, antara usaha dilaksanakan kementerian dan PDRM dalam mengekang jenayah penipuan dalam talian adalah melalui portal Semakmule 2.0 bagi membantu masyarakat menyemak status akaun bank, nombor telefon serta syarikat yang mungkin terbabit dengan penipuan.

“Portal ini bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menyediakan maklumat yang tepat dan terkini mengenai akaun yang disyaki terbabit dengan penipuan.

“Ia sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna dan mengurangkan insiden penipuan dalam talian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI