ROM – Seorang ahli kimia Itali yang digelar ‘bapa Nutella’ kerana membantu mencipta produk taburan coklat dan hazelnut popular itu meninggal dunia pada usia 97 tahun, lapor akhbar Metro UK.
Francesco Rivella meninggal dunia Jumaat minggu lalu, manakala majlis pengebumiannya diadakan semalam di bandar Alba sebelum dikebumikan di Barbaresco.
Pada tahun 1952 ketika usia 25 tahun, dia mula bekerja di bilik kimia Ferrero di Alba, di mana beberapa produk jenama ikonik dicipta. Ia termasuk Kinder, Ferrero Rocher dan Nutella.
Rivella yang turut terlibat dalam penghasilan Nutella, ialah sebahagian daripada pasukan yang mengkaji bahan mentah, mengadun, menapis dan merasainya untuk membangunkan produk baharu.
Dia menjadi pengurus kanan syarikat itu dan orang kepercayaan pengasasnya, Michele Ferrero.
Selepas bersara, Rivella menetap di Alba, di mana dia mendedikasikan dirinya untuk aktiviti pertanian buah-buahan dan permainan bola tradisional, pallapugno.
Mendiang mati meninggalkan tiga anak lelaki, seorang anak perempuan dan tujuh cucu. – AGENSI