KOTA BHARU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan menerima lebih 52,000 permohonan untuk merentas negeri dan daerah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula lebih seminggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, daripada permohonan itu, polis akan membuat pertimbangan terlebih dahulu dan hanya akan memberi kelulusan sekiranya atas urusan kerja.
Katanya, majoriti permohonan yang diterima terdiri daripada individu yang bekerja sendiri termasuk penghantar makanan secara persendirian.
“Kita akan benarkan individu yang hendak merentas negeri atau daerah dengan mengemukakan surat majikan atau alasan yang diberikan agak munasabah.
“Oleh itu, saya mengingatkan orang ramai yang dibenarkan merentas negeri dan daerah agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan sempena Program First Day At School di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1 di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud dan Pengetua SMK Pengkalan Chepa 1, Un Mat.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, bagaimanapun permohonan untuk merentas negeri dan daerah semakin berkurangan ketika ini terutamanya apabila pelaksanaan PKP di negeri ini sudah masuk minggu kedua.
Dalam perkembangan lain, ujarnya, polis tidak akan menambah sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini dan sudah memadai dengan 19 lokasi yang sedia ada. – K! ONLINE