PETALING JAYA – Program Protégé ATM-Ready to Work (RTW) Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) telah membantu graduan menimba pengalaman di tempat kerja.
Malah insiatif YLTAT dengan kerjasama Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA), Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) dan BHIC AeroServices Sdn Bhd (BHICAS) juga mengasah bakat serta kemahiran peserta sepanjang menjalani latihan di empat syarikat industri pertahanan tersebut serta Kementerian Pertahanan.
Program terbabit menyediakan penempatan pekerjaan dalam pelbagai industri seperti farmaseutikal, aeroangkasa, minyak dan gas serta penerbangan bermula daripada kelayakan bagi lepasan Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Program rintis itu meletakkan YLTAT sebagai ‘One-Stop-Centre’ dan telah menawarkan sebanyak 160 penempatan bagi tempoh 8 hingga 12 bulan bermula pada Ogos dan September tahun lalu.
Kolaborasi inovatif itu juga merupakan laluan khas bagi membantu menambah baik kesejahteraan taraf sosio-ekonomi anak-anak warga pertahanan serta menyumbang dalam pemacuan ekosistem tenaga kerja sekaligus melahirkan sumber manusia yang berkualiti.

Menurut seorang peserta, Muhammad Shahrul Azizie Said, 24, berkata, langkah memperkenalkan program berkenaan telah membuka peluang baharu kepada graduan untuk menceburi bidang yang diminati.
Graduan dalam bidang pengajian strategik, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu menambah, program terbabit telah membantu meningkatkan kemahiran ‘soft skill’ dan ‘hard skill’.
“Program ini juga sebagai ‘kick start’ kepada saya sebelum terjun ke alam pekerjaan sebenar.
“Seperti saya yang di tempatkan di unit penswastaan, banyak perkara baharu yang telah saya pelajari terutamanya melibatkan urusan berkaitan antara pihak kerajaan dan swasta,”katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Shahrul Azizie berkata, sebagai seorang anak veteran ATM, jiwanya juga sudah dekat dengan Kementerian Pertahanan dan akan cuba menabur bakti kepada kementerian itu pada masa hadapan.
Sementara itu, bagi seorang lagi peserta, Syabil Ariff Bazli turut mengakui program terbabit telah banyak membantu dirinya meningkatkan kemahiran yang diperlukan apabila berada di alam pekerjaan kelak.

“Sebagai graduan baharu, program ini adalah sebagai landasan tepat untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman dan kemahiran supaya apabila memasuki alam pekerjaan sebenar kami lebih bersedia.
“Jadi, bagi saya program seperti ini perlu diteruskan pada masa hadapan supaya lebih ramai lagi graduan khususnya anak anggota ATM dan pesara dapat meneruskan legasi mereka di Kementerian ini,”ujar anak jati Jitra, Kedah itu.
Turut senada dengan Syabil Ariff adalah seorang lagi peserta, Sara Nur Shazreena Shahrin yang mengakui sepanjang lapan bulan menyertai program itu banyak pengalaman telah ditimba di Unit Perumahan, Bahagian Pembangunan di Mindef.
“Sejak saya menyertai program ini bermula 1 Jun 2024 sehingga kini banyak pengalaman baharu yang saya perolehi termasuklah proses selenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
“Dengan pengalaman berharga ini secara tidak langsung saya sebagai graduan baharu dapat meningkatkan kemahiran ‘soft skill’ sebelum menjejakkan kaki ke alam pekerjaan sebenar nanti,”katanya.

Pada masa sama, Sara Nur Shazreena berterima kasih atas inisiatif tersebut dan berharap agar program terbabit dapat teruskan pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Mindef sedang memuktamadkan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bagi mengambil alih serta menguruskan sendiri program Protégé ATM-RTW ini.
Inisiatif ini selaras dengan Fokus Kedua Kementerian Pertahanan; Mengukuh Keistimewaan dan Kelebihan Perkhidmatan ATM bertujuan memberi pendedahan kepada anak-anak ATM dan warga Kementerian Pertahanan bagi meningkatkan kebolehpasaran dalam bidang kerjaya.-KOSMO! ONLINE.